Friday, June 19, 2009

Catatan-2

Sebelum ini saya adalah seorang yang cergas, ceria dan juga seorang yang sangat menitik beratkan soal kesihatan. Namun sejak 2 tahun lalu saya menjadi seorang yang sangat lemah, pendiam dan cepat marah. Tidak saya sangka pujukan teman saya untuk mengganti posisinya sebagai pembantu peribadi menjadi titik tolak saya sebagai seorang pesakit. Selepas seminggu menggantikan sahabat saya, saya mula merasa ada perubahan pada diri saya. Selain rasa penat yang teramat sangat, saya juga sering pitam dan mengalami rasa berdebar-debar secara tiba-tiba, lebih-lebih lagi menjelang waktu Asar sehingga ke tengah malam.

Pada mulanya saya mengesyaki saya menghidap penyakit yang kronik. Apalagi hampir setiap malam jantung saya akan berdegup dengan kencang dan saya akan merasa tekanan yg agak kuat di bahagian kepala saya. Namun setelah membuat pemeriksaan darah dan air kencing saya mendapati keadaan kesihatan saya tidak seperti yang saya sangkakan. Disebabkan ketika saya masih di bangku sekolah saya pernah mengalami sakit yang disebabkan oleh gangguan jin maka saya pun berikhtiar untuk berjumpa dengan perawat perubatan Islam.

Untuk tidak bercerita dengan lebih panjang lebar biarlah saya terus saja bercerita pengalaman saya menerima rawatan. Saya ditemukan dengan Ustaz Ku Othman iaitu seorang ustaz yang juga merupakan bekas guru agama sepupu saya. Rawatan beliau adalah dengan teknik Ruqyah di mana saya di minta duduk membelakangi beliau dan sekali sekala beliau akan menepuk bahagian belakang badan. Ustaz Ku mengatakan saya mempunyai saka dan terdapat juga gangguan jin yang lain yang beliau syaki berpunca dari gangguan di tempat kerja.
Saya menerima rawatan belia hampir setahun lamanya dimana hampir setiap hari saya akan pastikan saya berkesempatan berjumpa beliau untuk mendapatkan rawatan. Alhamdullilah, dengan izin Allah SWT semakin lama saya dapat merasakan perubahan pada diri saya walaupun masih terdapat sedikit gangguan namun saya terus mengamalkan zikir-zikir dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai pendiding diri.

Pada awal tahun ini, sakit itu datang lagi. Saya kerap merasa kebas pada setiap anggota badan..selain pernafasan saya yang sering terganggu...saya juga masih lagi merasa tekanan dan denyutan pada kepala saya. Saya juga mengalami gatal-gatal kulit yang agak kronik di sekitar kaki dan tangan. Ada suatu ketika saya sama sekali tidak dapat mengingati mana-mana surah dan zikir yang selama ini menjadi amalan saya. Yang pasti selain dari berpunca dari dari sendiri (kadang kala tidak tepat waktu ketika sholat)ianya juga ada kaitan dengan gangguan di tempat kerja saya di mana setiap penjuru pejabat ada diletakkan tangkal. Pernah juga saya mendengar cerita dari rakan yang dulu bertugas majikan saya pernah meletakkan sesuatu di pintu masuk pejabat yang menurut kawan saya kelihatan seperti cebisan daging yang telah busuk.

Untuk rawatan kali ini saya diperkenalkan dengan seorang ustaz iaitu ustaz Ahmad Hj. Kambar. Belia merupakan guru kepada sahabat saya. Rawatan beliau hampir sama dengan Ustaz Ku cuma tempoh rawatannya lebih lama. Semasa saya menerima rawatan awal dahulu masa rawatan cuma sekitar 15-20 minit, pesakit juga terlalu ramai sehingga terpaksa menggunakan sistem nombor, pernah juga saya menunggu 3 jam lamanya untuk mendapat rawatan. Kerana berpegang kepada prinsip yang menyembuhkan itu adalah Allah SWT maka saya ikhtiar berubat dengan Ustaz Ahmad. Alhamdullilah ada sedikit perubahan walaupun gangguan masih ada.

Selain itu juga saya juga mendapatkan rawatan dari 2 orang guru agama yang mengajar berhampiran dengan tempat tinggal saya. Saya mula mendapatkan Rawatan dari Ustaz Rozan dan Ustaz Ramzi sejak hari isnin yang lalu (ketika ini ustaz Ahmad tidak dapat dihubungi kerana outstation). Keadaan saya pada masa itu agak teruk selain sesak nafas saya juga hilang selera makan sehinggakan saya memaksa diri saya untuk makan demi untuk mendapatkan tenaga. Tidur saya turut terganggu, sehinggakan saya hanya mampu tidur selama 2-3 jam sehari walaupun saya membaca Al-fatihah, Ayat Qursi dan 3 Qul berulang kali. Pada ada rawatan yang pertama saya dengan Ustaz Rozan & Ustaz Ramzi saya diarahkan duduk mengarah arah kiblat dan seterusnya bacaan Ruqyah dibaca. Sekali sekala Ustaz Rozan akan menepuk belakang saya dan menekan beberapa point di belakang dan atas dada. Saat point ditekan saya merasa sakit yg teramat sangat. namun Alhamdullilah saya dapat merasakan perubahan, sesak nafas saya telah beransur reda dan denyutan di kepala jua semakin berkurang. Selera yang tertutup juga telah pulih, walaupun cuma mampu makan dalam jumlah yang sedikit.

Pada esok harinya saya telah menjemput Ustaz Rozan, Ustaz Ramzi dan seorang lagi sahabat mereka untuk menjalankan rawatan di kediaman saya. Ini kerana pada malamnya saya masih sukar untuk tidur. Alhamdullilah sekali lagi rawatan berjalan dengan lancar dan buat pertama kalinya saya muntah ketika sessi rawatan dijalankan. Setelah mendapatkan rawatan dengan izin Allah SWT badan saya terasa ringan dan saya dapat merasakan semangat saya semakin pulih.

Namun kembalinya saya ke pejabat (rawatan di lakukan ketika 'lunch break') saya merasakan seluruh tubuh saya bergetar seperti ada aliran elektrik dalam tubuh saya. Selain itu juga saya berasa sakit pada bahagian belakang badan saya. Ketika Asar keadaan saya semakin teruk namun saya teruskan berzikir di dalam hati, menjelang Maghrib saya mula berdebar dan sangat lemah. Ketika ini Ustaz Roza dan Ustaz Ramzi sudah pun pulang Kinarut dan Papar yang agak jauh dari tempat saya. Saya pun tanpa berlengah menghubungi Ustaz Ahmad dan bergegas ke tempat rawatannya setelah Isyak. Setelah menceritakan keadaan saya selepas menerima rawatan dari Ustaz Rozan, Ustaz Ahmad membuat kesimpulan bahawa jin yang berada dalam tubuh saya mungkin merasa marah kerana saya masih tidak putus asa menerima rawatan. Ustaz Ahmad meminta saya menutup mata dan menarik nafas yang dalam kemudian bernafas seperti biasa. Dalam hati saya membaca Al-Fatihah. Pada saat saya menutup mata saya dapat rasakan seolah-olah saya berada di tempat lain dan saya hampir hilang kawalan terhadap diri saya. Badan saya semakin panas dan terasa getaran yang kuat di seluruh badan saya, rasa berdebar juga semakain kuat. Ketika Ustaz Ahmad melaungkan Azan di tiba-tiba saya rasakan seperti ada sesuatu yang menyekat di kerongkong dan anak tekak sehingga membuatkan saya terbatuk-batuk. Ustaz Ahmad turut memberi amaran kepada jin yang berada di dalam tubuh saya untuk keluar dengan segara atau meraka akan hancur dengan izin Allah. Tidak lama selepas itu saya muntah lagi..kali ini saya muntah dengan lebih banyak sehingga saya merasa sukar untuk bernafas...saya juga dapat merasakan ada pergerakan kuat dalam tubuh saya seperti gelombang elektrik..seolah-oleh cuba keluar dari tubuh saya. Malam itu saya pulang dengan rasa lemah yang teramat sangat. Dan di kala tengah malam saya terdengar sesuatu di luar jendela kamar tidur..namun disebabkan saya teralu penat dan lemah...akhirnya malam itu saya terlelap tanpa ada kesukaran untuk tidur.

No comments: