Sunday, August 2, 2009

Catatan 15

Hampir 2 minggu lebih saya tidak membuat posting kerana sibuk dengan persiapan majlis perkahwinan adik lelaki saya. Selama 2 minggu itu jugalah masalah pernafasan kembali mengganggu saya. Seperti biasa saya mengamalkan bacaan ayat-ayat Ruqyah termasuk ayat Bismillah 5. Saya juga mengamalkan pengambilan madu di waktu pagi dan doa-doa dan zikir seperti yang diajarkan oleh perawat-perawat yang berkunjung ke blog ini. Terima kasih Ya Allah atas bantuan ini. Alhamdullilah..Alhamdullilah..Alhamdullilah

Bukannya sesuatu yang mudah untuk saja menjalani semua ini bersendirian, ditambah lagi dengan masalah peribadi yang membelenggu diri. Alhamdullilah sekali lagi, semakin lama saya cuba mendekatkan diri pada Allah semakin saya sedar bahawa ianya bukan sekadar untuk mendapat kesembuhan semata-mata tapi ikhlas kerana Allah jua. Allah telah memberikan saya ketenangan yang tidak bisa saya gambarkan dengan kata-kata...


Saya sangat suka dengan apa yang pernah dikatakan oleh seorang ulama yang terkenal dari seberang...anggaplah setiap sholatmu itu sholat yang terakhir, pasti kamu akan berusaha memberikan persembahan yang terbaik buat Penciptamu...Mudah-mudahan..Insya'Allah.

Friday, July 17, 2009

Catatan 14

Alhamdullilah ya Allah, hari ini gangguan agak berkurangan..cuma beberapa kali sahaja sesak nafas namun setelah membaca ayat-ayat suci yang saya amalkan alhamdullilah gangguan beransur reda.
Menyentuh tentang hal yang lain, pagi ini saya dikejutkan dengan pengeboman 2 hotel mewah di Jakarta. Saya agak terkejut dan sedih dengan berita seumpama ini, apalagi Jakarta bukan tempat yang asing bagi saya kerana jakarta sudah menjadi rumah kedua bagi saya sejak 10 tahun yang lalu....Al-fatihah buat umat Islam yang terkorban..

Wednesday, July 15, 2009

Catatan 13

Benarlah seperti yang dikata, semakin kita ingin berubah kearah kebaikkan semakin besar juga ujian yang harus ditempuhi. Hari ini saya terpaksa berjumpa dengan doktor apabila keadaan kulit saya menjadi semakin teruk, bisa sekali rasanya. Saya terpaksa diberikan suntikan dan ubat untuk mengurangkan rasa gatal dan bengkak. Saya sedar akan kesan jangka panjang pengambilan suntikkan dan ubat anti histamine(ubat anti allergy). Mudah-mudahan selepas ini Allah menemukan penawar buat saya, sehingga hari itu tiba saya akan berusaha untuk lebih sabar dan yakin akan hikmah disebalik semua ini.

Pada masa yang sama 'sakit' dikepala saya juga semakin menjadi-jadi sehingga mengganggu ingatan saya. Tekanan yang kuat yang saya rasakan seolah-olah berada di tengah bahagian dalam kepala, jika tekanan terlalu kuat saya akan merasa seperti hampir pitam, untuk membuka mata juga sangat susah sekali....dan biasanya akan diiringi rasa berdebar yang kuat sehingga terasa sukar untuk mengatur nafas. Namun doa tidak pernah putus saya baca, alhamdullilah membantu meringankan tekanan tersebut..dalam keadaan seperti ini saya akan cuba mencari di mana silapnya saya...dan saya sedar banyak hal yang mungkin saya terlepas pandang, mungkin saya kurang khusyuk ketika sholat..mungkin teknik bacaan saya salah...atau mungkin tanpa saya sedari saya telah menyakiti hati sesiapa...Wallahu'Allam..semoga Allah memberikan petunjuk buat saya..

Tuesday, July 14, 2009

Catatan 12

Sejak kebelakangan ini saya perasan setiap kali saya menyentuh bahan yang berunsurkan logam pasti ada tindak balas seolah-olah kejutan elektrik. saya maklum bahawa tubuh manusia sememangnya memiliki medan elektromagnet. Namun tindak balas yang saya alami kebelakangan ini membuatkan saya risau, pernah juga ketika berada di sebuah kedai saya terpegang almari 'display' logam..hasilnya tangan saya merasa pedih seakan melecur..Tetapi hal yang sama tidak pula dialami oleh customer yang lain di kedai itu..

Catatan 11

Di kala orang lain sedang tidur lena saya masih 'sruggle' untuk melelapkan mata...saya mengambil kesempatan ini membuat sedikit catatan sebelum meneruskan beberapa bacaan ayat-ayat suci yang disarankan oleh beberapa perawat...dan beginilah seterusnya sehingga mata ini mahu untuk lena biar untuk sebentar sahaja...ketika sholat maghrib tangan kanan saya berdenyut kuat dengan tiba-tiba, seperti dipicit-picit dengan kasar...memang bukan hal yang asing bagi saya, seringkali juga tangan saya akan bergetar dengan tiba-tiba..dan yang lebih kerap adalah kepala saya...seperti di picit-picit dari dalam..sukar digambarkan apa yang saya rasakan saat ini...

Alhamdullilah masalah pernafasan saya menunjukkan perkembangan positif, sekali lagi syukur alhamdullilah, terima kasih untuk doa/ayat-ayat/zikir/nasihat dari para perawat yang saya hormati. Namun seperti biasa gangguan sekarang beralih ke bahagian kepala dan kulit...tidak mengapa, saya harus lebih sabar lagi dan tingkatkan ibadah...bantulah hambamu yang lemah ini Ya Rabb...

Saturday, July 11, 2009

Catatan 10

Hampir seminggu lebih saya mengalami batuk dan kesukaran untuk bernafas, namun saya masih terus mengamalkan minum air madu+limau kapas (selain mengamalkan bacaan zikir & doa yg dianjurkan oleh beberapa perawat islam yang sudi berkunjung ke blog saya) Alhamdullilah sujud syukur saya kehadrat Allah, blog ini telah menemukan saya pada perawat-perawat islam di dunia maya ini, terima kasih buat mereka atas kata-kata semangat, doa-doa & apa jua jenis bantuan yg diberikan sama ada secara langsung atau tidak. Hanya Allah saja yang dapat membalasnya.

Kelmarin sakit kepala saya datang lagi..Sakit kepala bagi pesakit seperti saya bukan lah sakit kepala yang biasa yang saya alami dulu sebelum datangnya penyakit ini, yang dengan mudah boleh dihilangkan dengan memakan panadol. Sakit kepala ini seperti ada tekanan/gelombang di kepala saya..sakit tersebut kadangkala merebak ke bahagian mata dan batang hidung, kadang-kadang terasa seperti di saya berada di awang-awangan dan kadang-kadang seperti saya akan jatuh terbaring bila-bila masa sahaja. Sukar saya gambarkan apakah saya mengalami sakit kepala atau pening kerana keadaan itu sangat sukar saya jelaskan dan tafsirkan..

Saya juga tidak boleh berjalan atau duduk dengan lama sekiranya saya keluar berjalan-jalan. Apalagi jika makan di restoran saya pasti merasa pening dan sukar bernafas..pernah juga beberapa kali saya hampir pitam ketika berada di tempat awam...keadaan ini menyebabkan saya jarang keluar kemana-mana dan hanya berperap di rumah...prestasi kerja saya juga semakin merosot..yang menyedihkan respon orang atasan terhadap 'penyakit' saya..ada yang tidak percaya dengan menuduh saya sengaja mencari alasan untuk curi tulang, ada juga yang mentertawakan saya...jauh sekali ada yang cuba memahami....inilah dugaan yang harus saya hadapi...tidak mengapalah, mereka tidak tahu...tidak ramai yang mengetahui penderitaan kami yang mereka anggap berpenyakit 'ganjil' ini...

Setiap malam sebelum tidur dan selepas saya mebaca ayat Qursi & 3 Qul saya pasti akan mendengar bacaan Ruqyah dari playlist saya, ianya akan berulang-ulang sehingga subuh...dan kesannya setiap kali terbangun seluruh badan saya akan bergetar...saya juga merasakan getaran tersebut di dalam badan saya....

kadangkala saya lupa bagaimana rasanya nikmat hidup sihat seperti dulu...namun saya tidak kesal...kerana semakin lama saya melihat dan merasakan hikmah disebalik semua ini...Aku redha Ya Allah..namun untuk berputus asa tidak sama sekali...

Ya Allah berikanlah hambamu ini kekuatan...

Monday, July 6, 2009

Catatan 9

Sejak seminggu lalu notebook saya dihantar untuk di'repair'..agak susah untuk saya up-date perkembangan kesihatan saya dengan menggunakan pc office. Untuk makluman, sekarang saya mengalami masalah batuk dan pernafasan. Sejak 3 hari lalu saya mengamalkan minum air madu + limau kapas, alhamdullilah ada sedikit perubahan. Namun di samping itu keadaan kulit saya juga semakin bertambah teruk...sehinggakan tangan saya bengkak dan terasa pedih jika terkena air, setiap kali saya menyapu dengan serbuk kapur+air kondisi kulit saya akan menjadi tersangat gatal dan berdenyut-denyut...Allah belum izinkan saya sembuh, dan saya redha..namun saya akan terus berikhtiar apa pun caranya...

Alhamdullilah, ada ketenangan dalam diri ini disebalik derita yang saya tanggung...

Wednesday, June 24, 2009

Catatan-8

Hari ini saya mendapat demam selesma, dalam keadaan yang memang sedia sakit saya merasa sedikit tertekan dengan kondisi diri ini..namun saya sedaya upaya menghalang rasa tersebut dari menguasai diri. Alhamdullilah ada ketikanya saya terlupa sejenak dengan penderitaan yang telah mencengkam saya sejak 2 tahun yang lalu..tapi ada ketikanya saya hampir tewas dengan tekanan emosi..dan saat itu sangat getir untuk dilalui...hanya yang melaluinya sahaja yang mengerti bagaimana saya bergelut dengan gangguan ini..

kadangkala(ketika gangguan semakin hebat) wujud satu perasaan dan reaksi spontan dalam diri saya di mana saya akan membayangkan gangguan tersebut di dalam minda, biasanya saya hanya membayangkan 'makhluk Allah' tersebut berupa bayang-bayang gelap yang tidak tetap dari segi saiz & rupa...dan kemudian saya membaca zikir & bacaan ayat-ayat pendiding (baca dengan kuat jika bersendirian) kemudian ayat-ayat tersebut akan timbul (seperti menonton di pawagam) dan bergerak mengelilingi saya seolah-oleh menjadi benteng yang besar menghalang 'makhluk Allah' tersebut dari terus mengganggu...malah dalam keadaan yang yang sangat kritikal saya akan menyebut nama Allah berulangkali...dan kalimah ini lah yang akan menjadi perisai saya...Alhamdullilah dengan izin Allah gangguan biasanya akan semakin berkurangan walaupun tidak hilang sepenuhnya, namun cara ini biasanya lebih berkesan sekiranya bersendirian (mungkin lebih concentrate) walaupun terpaksa membayangkan dengan sepenuh tenaga Allah telah memberikan sedikit Ilham buat hamba yang lemah ini. Alhamdullilah bila timbul rasa ketergantungan pada Allah secara automatic keyakinan untuk sembuh tinggi dan sekaligus membuatkan saya lebih mengusai minda dan diri. Saya yakin usaha dari diri sendiri juga memainkan peranan penting untuk sembuh walaupun berpuluh perawat perubatan Islam telah merawat namun sekiranya pesakit cuma bergantung pada usaha pada perawat semata-mata gangguan tersebut pasti akan kembali..
Ibarat sebuah rumah, sekiranya berlaku kecurian pastilah tuan rumah yang harus berikhtiar untuk menjaga rumahnya daripada berlaku kecurian sekali lagi, usaha seperti membeli padlock yang sesuai, memastikan semua pintu dan jendela ditutup dengan baik, jika ada yang mampu mereka akan menyediakan cctv mahupun penggera kecurian,kesemuanya adalah usaha untuk mencegah kecurian..dan tidak mungkin kita terus bergantung pada polis untuk membuat rondaan di rumah selama 24 jam setiap hari....dan yang penting yakin dan berserah total kepada Allah SWT.
(demi untuk mengingatkan diri sendiri)-alhamdullilah Ya Allah, aku diberikan kesempatan untuk mencuci dosa-dosaku...aku redha Ya Allah...

Ya Allah berikanlah aku ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang Engkau berikan pada hambamu yang lemah ini....

Tuesday, June 23, 2009

Catatan-7

Hari ini saya berjumpa dengan Ustaz Rozan sekali lagi semasa lunch hour Dengan badan yang masih terasa lemah, saya teruskan juga niat untuk berjumpa beliau yang ketika itu masih berada di Masjid Negeri. Untuk pengetahuan sekolah agama tempat Ustaz Rozan mengajar berdekatan dengan Masjid Negeri. Sekembalinya beliau dari masjid saya pun menerangkan dengan panjang lebar tetang tindak balas hasil rawatan beliau dengan 3 jenis air yang beliau sediakan. Beliau membuat kesimpulan bahawa tindak balas tersebut adalah disebabkan jin yang berada dalam tubuh saya marah dan tersiksa dengan rawatan yang diberikan. Kali ini ustaz meruqyah 3 botol air yang saya sediakan, 2 botol dicampur dengan air limau kapas. Ustaz Rozan turut mencadangkan saya mencari daun bidara untuk digunakan sebagai air mandian. Mudah-mudahan saya dapat mencarinya kerana saya tahu daun tersebut digunakan ketika jenazah dimandikan. Daun itulah yang pernah dicari oleh suami saya ketika ayah mertua saya meninggal dunia bulan disember tahun lalu.

Mudah-mudahan saya dapat mencari daun tersebut..

Sunday, June 21, 2009

Catatan-6

Sebelum memulakan catatan, saya sempat menukar setting Jam di blog ini, saya dah lupa untuk adjust setting masa di blog ini, maklumlah sudah lama sekali saya tak menulis blog. Blog yang lain saya biarkan hiatus dahulu, sementara ini saya nak tumpukan penulisan saya pada blog ini sahaja.

Kesukaran tidur semalam membuatkan saya menjadi sangat tidak bermaya hari ini. Saya terlelap sekitar pukul 3 pagi...selain rasa berdebar yang semakin kerap daya ingatan saya juga semakin terjejas...doa-doa yang saya amalkan hanya beberapa kerat sahaja yang dapat dibaca..Mudahan-mudahan saya akan lebih sabar dengan ujian ini..

Catatan-5

Saya masih tidak dapat melelapkan mata. Sambil mendengar bacaan Ruqyah yanga ada dalam playlist saya, saya berdoa mudah-mudahan saya dapat tidur sebentar lagi..Ada bunyi yang menggangu di luar jendela bilik saya...Ya, Allah lindungilah hambamu ini...

Catatan-4

Jam sudah menunjukkan 1.21 pagi, ada sedikit rasa mengantuk tetapi mata saya masih tidak boleh lelap. Hari ini badan saya terasa lemah sekali, selera makan saya kembali tersekat, saya dapat merasakan berat badan saya semakin susut hari demi hari..

Ya, Allah sembuhkanlah hambamu ini...

Friday, June 19, 2009

Catatan-3

Kelmarin saya telah menyediakan bahan-bahan yang diminta oleh ustaz Rozan untuk dicampur dalam air minuman. Semuanya ada 3 jenis air. Air limau kapas, Air lada hitam dan air garam. Ada 3 biji limau digunakan untuk saya perahkan jusnya masuk ke dalam botol yang dikhaskan untuk Air limau tersebut. Kata ustaz Rozan Air garam tujuannya untuk memperbaiki sel dalam badan yg telah rosak disebabkan sakit yg saya alami, Air lada hitam pula tujuannya untuk melemahkan jin manakala Air limau kapas pula tujuannya untuk mengeluarkan jin yang berada dalam tubuh badan saya. Saya juga menyediakan serbuk kapur dan juga 21 biji limau kapas untuk mandi.kata ustaz jin tidak suka dengan bau limau. Ustaz turut mencadangkan saya mengamalkan minum air kelapa muda selama 7 hari untuk mencuci saluran pencernaan. Semalam saya telah pun membeli 7 biji buah kelapa untuk diminum setiap pagi sebelum sarapan. Air kelapa tersebut hendaklah diminum terus dari buahnya.

Berbalik kepada 3 jenis air tadi, saya dengan tidak sengaja telah memasukkan air limau yg telah diperah ke dalam air lada hitam. Entah kenapa saya pun tidak pasti bagaimana saya boleh tersilap memasukkan air tersebut. Dengan segera saya pun menghubungi ustaz Rozan, saya merasa sangat bersalah. Alhamdullilah ustaz Rozan mengatakan tidak jadi masalah untuk saya meminum air campuran limau dan lada hitam tersebut. Syukurlah kerana saya masih boleh minum air tu. Rasa bersalah pula dengan ustaz jika terpaksa curi waktu mengajarnya semata-mata untuk meminta beliau meruqyah berbotol-botol air..hanya disebabkan kecuaian saya.

Hari ini sewaktu berada di pejabat sakit kepala dan pening datang lagi..namun saya kuatkan semangat dan meneruskan zikir yang telah diajar oleh ustaz Rozan. Walaupun rasa seram dengan bunyi yang tiba-tiba datang dari meja di depan saya, saya cuba kuat kan semangat dan terus berzikir di dalam hati..Tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan izin Allah..

Catatan-2

Sebelum ini saya adalah seorang yang cergas, ceria dan juga seorang yang sangat menitik beratkan soal kesihatan. Namun sejak 2 tahun lalu saya menjadi seorang yang sangat lemah, pendiam dan cepat marah. Tidak saya sangka pujukan teman saya untuk mengganti posisinya sebagai pembantu peribadi menjadi titik tolak saya sebagai seorang pesakit. Selepas seminggu menggantikan sahabat saya, saya mula merasa ada perubahan pada diri saya. Selain rasa penat yang teramat sangat, saya juga sering pitam dan mengalami rasa berdebar-debar secara tiba-tiba, lebih-lebih lagi menjelang waktu Asar sehingga ke tengah malam.

Pada mulanya saya mengesyaki saya menghidap penyakit yang kronik. Apalagi hampir setiap malam jantung saya akan berdegup dengan kencang dan saya akan merasa tekanan yg agak kuat di bahagian kepala saya. Namun setelah membuat pemeriksaan darah dan air kencing saya mendapati keadaan kesihatan saya tidak seperti yang saya sangkakan. Disebabkan ketika saya masih di bangku sekolah saya pernah mengalami sakit yang disebabkan oleh gangguan jin maka saya pun berikhtiar untuk berjumpa dengan perawat perubatan Islam.

Untuk tidak bercerita dengan lebih panjang lebar biarlah saya terus saja bercerita pengalaman saya menerima rawatan. Saya ditemukan dengan Ustaz Ku Othman iaitu seorang ustaz yang juga merupakan bekas guru agama sepupu saya. Rawatan beliau adalah dengan teknik Ruqyah di mana saya di minta duduk membelakangi beliau dan sekali sekala beliau akan menepuk bahagian belakang badan. Ustaz Ku mengatakan saya mempunyai saka dan terdapat juga gangguan jin yang lain yang beliau syaki berpunca dari gangguan di tempat kerja.
Saya menerima rawatan belia hampir setahun lamanya dimana hampir setiap hari saya akan pastikan saya berkesempatan berjumpa beliau untuk mendapatkan rawatan. Alhamdullilah, dengan izin Allah SWT semakin lama saya dapat merasakan perubahan pada diri saya walaupun masih terdapat sedikit gangguan namun saya terus mengamalkan zikir-zikir dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai pendiding diri.

Pada awal tahun ini, sakit itu datang lagi. Saya kerap merasa kebas pada setiap anggota badan..selain pernafasan saya yang sering terganggu...saya juga masih lagi merasa tekanan dan denyutan pada kepala saya. Saya juga mengalami gatal-gatal kulit yang agak kronik di sekitar kaki dan tangan. Ada suatu ketika saya sama sekali tidak dapat mengingati mana-mana surah dan zikir yang selama ini menjadi amalan saya. Yang pasti selain dari berpunca dari dari sendiri (kadang kala tidak tepat waktu ketika sholat)ianya juga ada kaitan dengan gangguan di tempat kerja saya di mana setiap penjuru pejabat ada diletakkan tangkal. Pernah juga saya mendengar cerita dari rakan yang dulu bertugas majikan saya pernah meletakkan sesuatu di pintu masuk pejabat yang menurut kawan saya kelihatan seperti cebisan daging yang telah busuk.

Untuk rawatan kali ini saya diperkenalkan dengan seorang ustaz iaitu ustaz Ahmad Hj. Kambar. Belia merupakan guru kepada sahabat saya. Rawatan beliau hampir sama dengan Ustaz Ku cuma tempoh rawatannya lebih lama. Semasa saya menerima rawatan awal dahulu masa rawatan cuma sekitar 15-20 minit, pesakit juga terlalu ramai sehingga terpaksa menggunakan sistem nombor, pernah juga saya menunggu 3 jam lamanya untuk mendapat rawatan. Kerana berpegang kepada prinsip yang menyembuhkan itu adalah Allah SWT maka saya ikhtiar berubat dengan Ustaz Ahmad. Alhamdullilah ada sedikit perubahan walaupun gangguan masih ada.

Selain itu juga saya juga mendapatkan rawatan dari 2 orang guru agama yang mengajar berhampiran dengan tempat tinggal saya. Saya mula mendapatkan Rawatan dari Ustaz Rozan dan Ustaz Ramzi sejak hari isnin yang lalu (ketika ini ustaz Ahmad tidak dapat dihubungi kerana outstation). Keadaan saya pada masa itu agak teruk selain sesak nafas saya juga hilang selera makan sehinggakan saya memaksa diri saya untuk makan demi untuk mendapatkan tenaga. Tidur saya turut terganggu, sehinggakan saya hanya mampu tidur selama 2-3 jam sehari walaupun saya membaca Al-fatihah, Ayat Qursi dan 3 Qul berulang kali. Pada ada rawatan yang pertama saya dengan Ustaz Rozan & Ustaz Ramzi saya diarahkan duduk mengarah arah kiblat dan seterusnya bacaan Ruqyah dibaca. Sekali sekala Ustaz Rozan akan menepuk belakang saya dan menekan beberapa point di belakang dan atas dada. Saat point ditekan saya merasa sakit yg teramat sangat. namun Alhamdullilah saya dapat merasakan perubahan, sesak nafas saya telah beransur reda dan denyutan di kepala jua semakin berkurang. Selera yang tertutup juga telah pulih, walaupun cuma mampu makan dalam jumlah yang sedikit.

Pada esok harinya saya telah menjemput Ustaz Rozan, Ustaz Ramzi dan seorang lagi sahabat mereka untuk menjalankan rawatan di kediaman saya. Ini kerana pada malamnya saya masih sukar untuk tidur. Alhamdullilah sekali lagi rawatan berjalan dengan lancar dan buat pertama kalinya saya muntah ketika sessi rawatan dijalankan. Setelah mendapatkan rawatan dengan izin Allah SWT badan saya terasa ringan dan saya dapat merasakan semangat saya semakin pulih.

Namun kembalinya saya ke pejabat (rawatan di lakukan ketika 'lunch break') saya merasakan seluruh tubuh saya bergetar seperti ada aliran elektrik dalam tubuh saya. Selain itu juga saya berasa sakit pada bahagian belakang badan saya. Ketika Asar keadaan saya semakin teruk namun saya teruskan berzikir di dalam hati, menjelang Maghrib saya mula berdebar dan sangat lemah. Ketika ini Ustaz Roza dan Ustaz Ramzi sudah pun pulang Kinarut dan Papar yang agak jauh dari tempat saya. Saya pun tanpa berlengah menghubungi Ustaz Ahmad dan bergegas ke tempat rawatannya setelah Isyak. Setelah menceritakan keadaan saya selepas menerima rawatan dari Ustaz Rozan, Ustaz Ahmad membuat kesimpulan bahawa jin yang berada dalam tubuh saya mungkin merasa marah kerana saya masih tidak putus asa menerima rawatan. Ustaz Ahmad meminta saya menutup mata dan menarik nafas yang dalam kemudian bernafas seperti biasa. Dalam hati saya membaca Al-Fatihah. Pada saat saya menutup mata saya dapat rasakan seolah-olah saya berada di tempat lain dan saya hampir hilang kawalan terhadap diri saya. Badan saya semakin panas dan terasa getaran yang kuat di seluruh badan saya, rasa berdebar juga semakain kuat. Ketika Ustaz Ahmad melaungkan Azan di tiba-tiba saya rasakan seperti ada sesuatu yang menyekat di kerongkong dan anak tekak sehingga membuatkan saya terbatuk-batuk. Ustaz Ahmad turut memberi amaran kepada jin yang berada di dalam tubuh saya untuk keluar dengan segara atau meraka akan hancur dengan izin Allah. Tidak lama selepas itu saya muntah lagi..kali ini saya muntah dengan lebih banyak sehingga saya merasa sukar untuk bernafas...saya juga dapat merasakan ada pergerakan kuat dalam tubuh saya seperti gelombang elektrik..seolah-oleh cuba keluar dari tubuh saya. Malam itu saya pulang dengan rasa lemah yang teramat sangat. Dan di kala tengah malam saya terdengar sesuatu di luar jendela kamar tidur..namun disebabkan saya teralu penat dan lemah...akhirnya malam itu saya terlelap tanpa ada kesukaran untuk tidur.

Catatan-1

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh,
Dengan izin Allah saya telah mendapat ilham untuk menulis pengalaman saya sebagai pesakit di blog ini. Ingin saya maklumkan bahawa saya merujuk diri saya sebagai pesakit untuk penyakit yang tidak ada istilah dalam dunia perubatan moden kini. Saya akan jelaskan dengan terperinci dan panjang lebar tentang sakit yang saya alami ini, mudah-mudahan dapat memberi maklumat sedikit sebanyak kepada mana-mana pembaca yang mungkin mengalami sakit yang sama dengan saya.

Blog ini saya khususkan untuk catatan saya berkisar tentang penyakit saya, rawatan & pengalaman semasa menerima rawatan. Saya telah membaca banyak blog perawat dengan catatan mereka tersendiri. Ada diantara pengalaman yang diceritakan mempunyai banyak persamaan dengan apa yang pernah saya lalui dan masih terus saya lalui. Saya alu-alukan sebarang pendapat atau pertanyaan. Dengan ini..bermulalah catatan saya sebagai seorang pesakit...